Wednesday, May 14, 2008

Hembuskanlah Asap Rokok Ke Muka Orang Yang Anda Sayangi

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Setiap kali saya dan isteri ingin pergi ke mana-mana restoran atau pun kedai mamak pastinya susah untuk mencari tempat duduk yang selesa dan nyaman. Bukannya saya dan isteri ini jenis yang terlalu memilih ataupun tidak suka bersosial. Kami tidak kisah untuk duduk dimeja sempit ditengah-tengah orang-ramai. Tiada masalah.

Apa yang menjadi permasalahan dan beban paling besar di Malaysia sekarang ini ialah susahnya untuk mencari meja makan yang bebas dari gangguan asap rokok yang berkepul-kepul dihembuskan dari meja sebelah. Kadang-kadang saya terlalu sangat sakit hati tidak dapat ditahan-tahan lagi sebab mamat yang menghisap rokok disebelah itu, sedut asap rokok dalam-dalam dan kemudiannya tanpa perasaan bersalah menghembuskannya ke udara dan sampai asap rokok itu ke meja sebelah yang tak berdosa. Isteri saya sekarang sedang mengandung dan saya juga tidak berapa suka menghidu asap rokok. Perkara yang paling saya sesalkan dalam hidup ini ialah kenapa dulu saya pun merokok? Sekarang ini memang tidak boleh bau langsung asap rokok. Seingat saya semasa saya dahulu seorang perokok yang agak tegar, saya masih berfikir lagi tentang orang lain disekeliling sekiranya ingin menghisap rokok di kedai makan.

Kesedaran dikalangan masyarakat kita tentang bahayanya merokok di Malaysia ini bukan sahaja ditahap yang teruk malahan ada yang tidak kisah sekiranya orang lain yang mendapat habuan dari asap rokok yang mereka hembuskan. Kalau sudah tidak tertahan lagi gian dan terlalu kemaruk sangat untuk menyedut nikotin itu, teruskanlah tetapi silalah mempunyai pertimbangan yang sewajarnya. Pandang-pandanglah sekeliling sekiranya ada keluarga yang ada anak-anak kecil atau pun perempuan yang mengandung. Sebaik-baiknya keluar dari kedai makan dan hisaplah di kaki lima sepuas hati. Terbaik sekali ialah henti-hentikanlah perangai yang tidak elok ini. Ini tidak bila saya dan isteri pergi ke kedai makan (restoran mamak terutamanya) pulang ke rumah,baju yang dipakai memang WAJIB berbau rokok yang sangat busuk. Jadilah satu kerja untuk membasuh baju dan mandi pula.

Moral daripada cerita saya ini:

Sekiranya anda di luar sana ingin sangat merokok,perhatikanlah sekeliling, bukan semua orang suka berkongsi asap rokok dengan anda!!

No comments: